Sunnah Menamakan Anak-Anak Dengan Nama Yang Baik

doc-patient

Nama merupakan anugerah awal yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Sejak dalam kandungan lagi, para ibu bapa sudah merancang dengan teliti nama yang akan diberikan kepada anak yang bakal dilahirkan.

Pemilihan nama yang baik merupakan tuntutan agama. Nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi Islam dan dalam kehidupan seorang insan. Nama boleh melambangkan identiti seseorang. Dengan nama itulah dia akan dikenali dan dengan nama juga seseorang itu boleh dikenali agamanya, sama ada Islam ataupun tidak.

Oleh kerana itu, Islam sangat memberi penekanan dan perhatian yang tinggi terhadap pemilihan nama bagi anak-anak. Malahan ia boleh melibatkan hukum larangan jika nama yang diberikan mengandungi makna yang tidak baik atau bercanggah dengan agama.

Dari sudut psikologi, nama boleh mempengaruhi atau mencerminkan sifat dan keperibadian empunya nama. Nama yang baik akan kerap disebut-sebut dan menjadi doa kepada anak tersebut. Tetapi jika sebaliknya ia akan menjadi ejekan atau membangkitkan rasa malu kepada mereka yang akhirnya menyebabkan rasa marah, membangkitkan pergaduhan, malah juga boleh membina perasaan rendah diri dan seterusnya akan mengganggu emosi anak-anak tersebut.

Menamakan anak dengan nama-nama yang baik adalah Sunnah. Abu al-Darda‘ berkata, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Maka, perelokkanlah nama-nama kamu.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Islam telah meletakkan beberapa panduan dalam memilih nama anak-anak:

  1. Memilih nama yang mempunyai makna yang baik. Sebaik-baik nama dan yang paling disukai oleh Allah SAW ialah ‘Abdullah " عبد الله " dan ‘Abdurrahman " عبد الرحمن " sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Nama-nama yang paling disukai di sisi Allah SAW ialah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman”.
  2. Menggunakan nama-nama para nabi sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Pilihlah nama dengan nama-nama para Nabi.” (Riwayat Abu Daud). Menurut mazhab Imam al-Syafi‘i dan jumhur ulama, harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi dan begitu juga nama-nama para malaikat.
  3. Dilarang meletakkan nama-nama yang menunjukkan pengabdian atau penghambaan kepada selain Allah seperti Abdul-Kaabah (Hamba Kaabah), Abdun-Nabi (Hamba Nabi), Abdul-‘Uzza (Hamba Tuhan ‘Uzza) dan sebagainya.
  4. Tidak memilih nama yang membawa maksud berbentuk penyucian (tazkiyah) dan mengagungkan manusia seperti  Barrah bermaksud sebaik-baik manusia, Malik al-Amlak (raja segala raja), Khaliq al-Khalq (pencipta makhluk), Ahkam al-Hakimin (sebaik-baik hakim), Sultan al-Salatin (sultan bagi sekalian sultan) dan Amir al-Umara’ (pemimpin segala pemimpin).
  5. Disunatkan mengubah nama yang buruk atau yang tidak baik. Rasulullah SAW pernah menukar nama ‘Ashiyah (yang bermaksud; perempuan yang engkar) dengan nama Jamilah yang bermaksud indah atau cantik, Hazan (kebimbangan) kepada Sahal (kemudahan), Abd al-Hajar (hamba batu) kepada Abdullah (hamba Allah), `Afirah (tanah yang tandus) ditukar kepada nama Khadirah (tanah kehijauan).

Islam mengharuskan untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada bila-bila masa sahaja selepas kelahirannya. Tiada waktu yang dilarang. Manakala, waktu yang disunatkan menurut Imam al-Bukhari ialah pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya jika anak tersebut hendak dilaksanakan aqiqah untuknya pada hari ketujuh. Jika tidak, disunatkan anak tersebut diberikan nama sebelum hari yang ketujuh.


Jika bayi yang dilahirkan ditakdirkan mati sebelum diberikan nama, para ulama berbeza pandangan mengenai hukumnya. Mazhab Hanafi, Syafi’i, Hanbali dan Ibnu Habib daripada mazhab Maliki berpendapat bahawa hendaklah dinamakan setiap anak yang lahir dalam keadaan wujud tanda kehidupannya seperti keluar suara, menangis, menggigil dan bergerak-gerak. Mazhab Hanafi mewajibkan penamaan ini manakala mazhab-mazhab lain hanya mengatakan sunat sahaja. Ini berdasarkan satu riwayat bahawa dikatakan Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kalian menamakan anak-anak kalian yang gugur kerana mereka itu telah mendahului kamu.” (Riwayat Ibn al-Samak) .


Bagi janin yang gugur, jika anak tersebut diyakini sudah berumur empat bulan dan ke atas maka terlebih dahulu dilihat adakah janin yang gugur tersebut menunjukkan tanda-tanda kehidupan atau tidak. Jika ya, makna ia sudah bernyawa dan sunat diberikan nama. Jika tidak, maka tidak sunat diberikan nama kerana tidak pasti bahawa anak itu sudah bernyawa.

Secara umumnya, setiap anak mempunyai hak untuk mendapat nama yang baik supaya boleh menjadi doa kepada orang yang dinamakan itu serta membuatkan orang lain suka dan selesa dengan panggilan nama tersebut. Selain itu, ibu bapa juga wajib memikirkan tujuan nama itu diberikan kepada anak mereka supaya dapat menaruh harapan baik daripadanya selain menjadi doa, bukannya sekadar mencari glamor dan kelainan dalam masyarakat.


Usahakanlah untuk meletakkan nama yang mudah dan tidak terlalu panjang sehingga menyusahkan si pemilik nama dan orang yang memanggilnya.  Ibu bapa juga disaran untuk menerangkan makna dan sifat yang mengiringi nama tersebut kepada anak dengan harapan ia akan memberi kesan terhadap perilaku dan sikap mereka apabila dewasa kelak.


1. Dzulkhairi Mohd Noor (2020). Rahsia di Sebalik Nama, hlm. 40

2. Wajibkah Menamakan Anak Yang Gugur?, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/881-al-kafi-606-wajibkah-menamakan-anak-yang-gugur , 14 April 2017

3. Ibid